Friday, October 24, 2008

Untuk Kau

sudah berapa lama aku tak menulis. tiada apa yang hendak ditulis. barangkali fikiran terlalu bercelaru hinggakan tidak dapat menyusun kata untuk dijadikan ayat.

aku selalu terfikir, adakah apa yang aku genggam ini benar-benar apa yang aku mahukan. kalau terlepas yang dalam genggaman ini, bolehkah aku dapatkan gantinya? atau mungkin tersungkur kerana berlari ingin mendapatkan ia semula? aku tak mahu terasa sesal lagi. cukuplah berkali-kali perit pedih terpaksa aku hadapi kerana yang berada dalam genggaman jatuh dicelah-celah jari seperti pasir. semakin kuat digenggam, semakin laju ia terus ke tanah; akhirnya tiada lagi dalam tangan. yang tinggal hanya debu.

aku bertanyakan pada diri, sambil kepalanya aku usap. jarinya aku jalinkan bersama jariku. dahinya aku cium, wajahnya aku renung. yang inikah yang aku mahu? yang inikah yang aku sayang? yang inikah yang akan aku bawa dalam diri, zahirku dan dalam hati, jiwaku. aku tak mahu mencari lagi. yang ini cukup bagus buatku. yang ini yang terbaik buatku. walau apa pun yang ini lah yang akan aku perjuangkan. aku mahu jadi yang satu. seperti cinta terhebat satu waktu dahulu. tapi yang itu bohong, walaupun aku masih teringat tapi aku benci. pergilah kau, jangan dekati lagi. biarkan aku dengan yang ini. yang di sini, yang aku mahu sayang dengan sepenuh hati. yang akan mengembalikan rasa sayang itu tanpa ada rasa keliru atau tidak pasti.

percayalah kata-kataku, kalau aku bilang aku mahu berada bersamamu. mungkin kau rasa aku masih tidak dapat memberi sepenuh hati. aku minta kau tolonglah genggam erat lagi tanganku setiap kali kau terasa begitu. rangkul aku dan jangan lepaskan. aku masih mencuba, aku mahu mencuba.

aku renung lagi yang ini. mungkin ada lagi yang tersimpan belum aku luahkan. satu hari demi satu hari. perjalanan ini masih panjang buat aku dan yang ini. aku mahukan yang ini. tiada lagi yang aku fikirkan melainkan yang ini.

cinta terhebat, mungkin berlaku lagi. tapi kali ini lebih bererti.

No comments: